PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima enam laporan melibatkan rakyat Malaysia yang diekploitasi buruh paksa di beberapa negara Asia Tenggara.
Bagi tahun 2021 hingga bulan lalu, mengikut rekod Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), seramai 24 lelaki dan dua wanita yang masih memerlukan bantuan untuk diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya percaya lebih ramai lagi mangsa yang terkandas di bawah kawalan sindiket di Thailand, Myanmar Vietnam dan Laos kerana tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, modus operandi hasil maklumat diterima mendapati kesemua mangsa telah diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji lumayan melalui Facebook.
“Mangsa yang tertarik akan berhibung dengan ejen dan bersetuju dengan syarat-syarat pekerjaan termasuk gaji, waktu kerja dan kebajikan malah ejan menjanjikan mengurus dan menanggung segala kos perbelanjaan perjalanan.
“Apabila mangsa tiba di negara tersebut, semua dokumen perjalanan mangsa termasuk telefon dirampas dan dimusnahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abd. Jalil, pergerakan mangsa dikawal dan dikurung sebelum dihantar ke desinasi tertentu.
Jelasnya, mangsa kemudian sedar pekerjaan sebenar dan merasakan telah diperdayakan selepas dipaksa melakukan pekerjaan perjudian dalam talian, scammer, pelaburan palsu, perlombongan bitcoin dan penipuan.
“Mangsa juga tidak dibenarkan balik ke negara asal selagi tidak memcapai sasaran syarikat tersebut. Sekiranya ingin kembali, mangsa diminta untuk membayar ganti rugi dianggarkan RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap seorang,” ujar beliau.
Tambah Abd. Jalil, pihaknya mendapati sindiket ini adalah rangkaian jenayah rentas sempadan dan beroperasi secara teratur selain mempunyai jalinan luas .
“PDRM akan berusaha untuk bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Aseanapol bagi tujuan membantu dan mengesan untuk menyelamatkan mangsa terlibat.
“Siasatan dijalankan bagi mengenal pastI ejen yang bertanggungjawab membuat tawaran kerja dan transporter membawa mangsa ke destinasi tertentu,” katanya
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja dengan gaji lumayan di luar negara agar tidak diekploitasi. – UTUSAN