47 lokasi risiko kejadian lemas musim perayaan

47 lokasi risiko kejadian lemas musim perayaan

MOHAMMAD Hamdan Wahid (tengah) menyampaikan Anugerah Khas Pegawai Cemerlang Berterusan Tahun 2021 kepada Muhammad Asyraf Mat Isa  pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 JBPM Negeri Perak di Ipoh, semalam. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti sebanyak 47 lokasi di seluruh negara yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko berlaku insiden lemas sepanjang cuti musim perayaan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, daripada jumlah itu, tujuh lokasi adalah berisiko tinggi yang mana ia ditentukan berdasarkan data mangsa maut akibat kejadian lemas tidak kurang lima orang dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, sungai, tali air dan kolam merekodkan jumlah tertinggi insiden berkenaan diikuti kawasan tasik dan pantai.

“Bagi kes lemas, setakat ini kita ada tujuh lokasi sebagai berisiko tinggi manakala 39 ke 40 kawasan dikategorikan berisiko sederhana.

“Berdasarkan rekod, kematian akibat lemas sebenarnya lagi tinggi daripada kebakaran iaitu empat kali lebih tinggi. Pada tahun lalu, 72 mangsa kebakaran direkodkan berbanding kes lemas dengan 400 orang. Kebanyakan mangsa ini berumur antara sembilan hingga 39 tahun,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat JBPM Perak di sini, semalam.

Seramai 93 pegawai dan anggota JBPM Perak menerima pingat masing-masing pada majlis yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman. Turut disampaikan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Muhammad Asyraf Mat Isa pula dipilih sebagai penerima Anugerah Pegawai Cemerlang Berterusan 2021.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rondaan dijalankan di lokasi dikenal pasti bagi memastikan tahap keselamatan orang ramai yang datang ke kawasan itu untuk aktiviti rekreasi dan berkelah.

Katanya, kebanyakan kes lemas juga membabitkan orang luar yang ke lokasi rekreasi mahupun pelancongan berbanding masyarakat setempat.

“Sebagai contoh di tepian pantai di Terengganu, mereka yang duduk di kawasan itu jarang terlibat dalam insiden lemas berbanding pengunjung luar.

“Kegagalan mereka memahami aspek topografi dan keadaan air di kawasan itu seperti kawasan pasir jerlus, curam, tarikan air terlalu kuat, air pasang mengejut dan kepala air menyebabkan insiden berkenaan. Orang luar biasanya tidak tahu berbanding orang tempatan,” katanya. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN