KUALA TERENGGANU: Cubaan sebuah bot nelayan Vietnam untuk lolos selepas menceroboh perairan negara gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di sini kelmarin.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot bersama 15 kru itu ditahan di kedudukan 110 batu nautika dari timur Kuala Terengganu, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Katanya, aksi kejar mengejar berlangsung selama 45 minit dan nelayan asing berkenaan turut dikesan melakukan helah selepas penahanan mereka.
“Pemeriksaan mendapati enjin bot sudah dirosakkan sekali gus menyebabkan tempoh menunda hingga ke jeti memakan masa panjang selama 24 jam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Ariffin berkata, pihaknya turut menahan dua bot tempatan yang dipercayai menggaji 15 nelayan warga Vietnam tanpa permit dan pengenalan diri sah.
Katanya, kedua-dua bot itu ditahan di kedudukan 62 dan 26 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu pada pukul 1 petang dan 7 malam, semalam.
“Jumlah rampasan keseluruhan membabitkan tiga bot termasuk peralatan menangkap ikan, di samping 3,000 liter minyak diesel dan 500 kilogram hasil laut dianggarkan bernilai RM4.5 juta,” katanya. – UTUSAN