43 pemandu disaman kerana potong barisan - Utusan Malaysia

43 pemandu disaman kerana potong barisan

SEORANG pemandu lori disaman kerana memotong barisan di Jalan Bakar Batu-Jalan Pasir Pelangi, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 43 pemandu disaman kerana memotong barisan di lampu isyarat dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Potong Barisan (Potong Q) yang dijalankan di Jalan Bakar Batu-Jalan Pasir Pelangi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi yang bermula pukul 4.30 petang itu menyaksikan sejumlah 75 kenderaan dan 90 individu diperiksa.

Katanya, selain itu, pihaknya turut mengeluarkan 26 saman atas pelbagai kesalahan lain.

“Lokasi ini memang kerap dilaporkan berlaku kesalahan potong barisan, terutama ketika kenderaan sedang beratur dan deretan untuk menunggu aliran trafik bergerak. Mana-mana kenderaan yang datang dari belakang dan terus memasuki hadapan barisan adalah menjadi satu kesalahan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Raub memaklumkan, dalam satu operasi berlainan, pihaknya turut mengeluarkan 124 saman dan menyita 34 motosikal menerusi Op Cegah Jenayah Bersepadu dan Op Mat Rempit, malam tadi.

Menurut beliau, pihaknya telah memeriksa 536 buah kenderaan dan 683 individu sepanjang operasi berkenaan berlangsung.

“Operasi dijalankan di enam lokasi berasingan iaitu di Kilometer 4.5 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi; Jalan Johor Bahru-Air Hitam; Jalan Skudai Pantai Lido; Susur Turun EDL-Bakar Batu, Jalan Pasir Pelangi dan Jalan Stulang Laut.

“Lokasi ini telah dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ golongan remaja melakukan aksi berbahaya seperti wheelie, superman dan menunggang secara zig-zag serta pelbagai aksi lain yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain. Saman yang dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai struktur atau ekzos, lampu hadapan silau dan tiada cermin sisi,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan telah menahan seorang lelaki kerana melakukan kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya