SEREMBAN: Seramai 4,000 individu kurang bernasib baik dari seluruh negara menerima sumbangan menerusi program Fast2Feed yang merupakan program sumbangan sempena bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutif, Singapore, Malaysia dan Brunei, Bottling Investments Group (Coca-Cola Malaysia), Louis Balat Joseph berkata, program tersebut merupakan anjuran Coca-Cola Malaysia dengan kerjasama Muslim Aid Malaysia bersama Mydin dan Marrybrown pada tahun ini.
Menurut beliau, program yang memasuki tahun ketiga penganjuran itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya.
“Program ini bagi memberi keceriaan kepada anak-anak yatim, asnaf serta golongan memerlukan bagi menyambut Aidilfitri. Mereka diraikan dalam majlis berbuka puasa dan sumbangan dalam bentuk bakul makanan serta duit raya,” katanya pada majlis yang diadakan di Seremban 2 di sini semalam.
Yang hadir sama, Pengarah Urusan, Mydin Holdings (M) Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin dan Ketua Pegawai Operasi Muslim Aid Malaysia, Habsah Marjuni.
Dalam program semalam, penerima sumbangan terdiri daripada seramai 200 pelajar Maahad Tahfiz An Najihah, Kampung Jijan dan penghuni Pertubuhan Baitul Barokah Ummul Qura, Bandar Enstek di sini.
Masing-masing menerima sumbangan bakul makanan, duit raya dan pakaian sempena Aidilfitri.
Program Fast2Feed yang bermula 3 April lalu hingga 27 April depan melibatkan 22 lokasi di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Sabah.
Sementara itu, Ameer Ali memberitahu, pihaknya menerusi Mydin Prihatin CSR akan terus menghulurkan bantuan serta memberi kegembiraan kepada golongan komuniti yang kurang berkemampuan.
“Seramai 51 pembekal telah bekerjasama menerusi Mydin Prihatin CSR. Sebanyak RM300,000 peruntukan yang digunakan bagi program yang dijalankan dengan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak ini,” katanya. – UTUSAN