205 petugas SWM Environment bersihkan 88 tapak bazar Ramadan

205 petugas SWM Environment bersihkan 88 tapak bazar Ramadan

ANTARA jentera SWM Environment yang akan beroperasi sepanjang Ramadan bagi menguruskan sisa buangan termasuk di 88 bazar Ramadan seluruh Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: SWM Environment Sdn. Bhd. menugaskan seramai 205 pekerjanya untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di 88 lokasi tapak bazar Ramadan di seluruh Johor, tahun ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, 41 buah kenderaan telah disediakan selain sejumlah 198 unit tong sampah ditempatkan untuk kegunaan peniaga dan pengunjung.

Sehubungan itu katanya, semua pihak diingatkan agar bersama-sama menjaga kebersihan di bazar Ramadan.

“SWM Environment telah melaksanakan pelan operasi sempena Ramadan bagi memenuhi keperluan masyarakat khususnya di kawasan berkepadatan tinggi umat Islam di kesemua 15 kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pelan tersebut dibuat dengan mengambil kira fasa peralihan ke endemik yang dijangka menyaksikan pertambahan sisa buangan pepejal semasa Hari Raya Aidilfitri akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Norlisam, orang ramai diminta memanfaatkan jadual kutipan sampah di kawasan mereka bagi melupuskan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula mereka.

“Saya turut mengajak orang ramai untuk menjayakan kempen Ramadan Rendah Karbon yang memberi penekanan terhadap amalan 3R iaitu pengurangan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle).

“Kita boleh memulakan perkara itu dengan mengamalkan sikap berhemah ketika membeli juadah berbuka di bazar Ramadan bagi mengurangkan sisa sampah selain menggunakan mangkuk tingkat untuk mengisi makanan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya