SUNGAI PETANI: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Kesempitan hidup memaksa pasangan warga emas tinggal di sebuah pondok yang diperbuat daripada bahan terbuang di Kampung Baru Thye Eng, Bedong di sini sejak 20 tahun lalu.
Pondok yang menjadi tempat berteduh Mohd. Rejab Mat Zain, 61, dan isteri, Siti Hamim Hashim, 60, berkeluasan tiga meter lebar dan tujuh meter panjang menggunakan papan lusuh, zink, kain serta jaring besi terbuang sebagai dinding dan berlantaikan tanah.
Mohd. Rejab berkata, dia membina pondok tersebut di atas tanah milik seorang pekebun berketurunan Cina kerana tidak memiliki tanah sendiri.
“Kami akan basah apabila hujan kerana bumbung rumah bocor, selain air mudah bertakung dalam kediaman ini kerana keadaan lantai tidak rata,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Malah menurutnya, sebelum ini, pondok tersebut turut menjadi tempat membesarkan tujuh anaknya.
“Bagaimanapun semua anak kami yang kini berusia antara 19 hingga 38 tahun telah berkahwin dan mereka tinggal berasingan,” katanya.
Mohd. Rejab berkata, kehidupan mereka berdua semakin sukar selepas isterinya buta sebelah mata kanan akibat terkena paku kira-kira setahun lalu, selain menghidap
penyakit darah tinggi dan diabetes.
Pada masa sama tambahnya, kesihatannya juga terjejas sejak kebelakangan ini menyebabkan dia dan isteri terpaksa bergantung kepada bantuan anak-anak untuk perbelanjaan makan dan minum.
“Saya pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun permohonannya tidak diketahui statusnya sehingga kini.
“Selain itu, saya pernah memohon mendapatkan rumah skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun tidak berjaya hingga sekarang,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu pasangan itu boleh menghubungi Mohd. Rejab di talian 019-5429961 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0211641100003541 milik Siti Hamim Hashim. – UTUSAN










