JOHOR BAHRU: Polis menahan seramai 166 individu yang melanggar kesalahan kerana berhibur di sebuah premis di Taman Ekoflora, Setia Indah, di sini ketika negara masih berada dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada pengunjung dan juga penjaga premis.
Menurut beliau, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan seorang lelaki kerana telah bertindak menghalang penjawat awam melakukan tugas.
“Dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 11.30 malam semalam, seramai 166 individu melibatkan pekerja premis dan juga pengunjung yang berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan.
“Tindakan kompaun berjumlah RM166,000 dikenakan terhadap kesemua mereka di bawah Peraturan (17) Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Shahurinain, individu yang menghalang tugas polis pula diambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Polis Johor mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi kesemua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam tempoh PPN ini.
“Ketika ini, tiada sebarang pengumuman berhubung kebenaran diberikan kepada pusat hiburan untuk kembali beroperasi, mana-mana pihak yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas,” jelasnya.
Sehubungan itu katanya, beliau berharap orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang salah laku boleh menghubungi bilik gerakan Polis Kontinjen Johor di talian 07-2254074. – UTUSAN










