KLANG: Seramai 14 pekerja asing nyaris rentung apabila tiga rumah kongsi dan dua kabin didiami mereka musnah terbakar di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini, hari ini awal pagi tadi.
Kebakaran kira-kira pukul 3.30 itu berlaku ketika semua mangsa sedang tidur di premis tersebut.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 3.36 pagi.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan 15 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api marak memusnahkan tiga rumah kongsi dua kabin.
“Penghuninya yang melibatkan 14 warga asing bagaimanapun berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norazam, lima premis itu melibatkan 80 peratus kebakaran dan api berjaya dipadamkan dalam tempoh empat jam.
“Semakan mendapati pekerja asing itu bekerja di sebuah kilang memproses cerucuk konkrit.
“Operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.40 pagi,” ujarnya.
Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.-UTUSAN










