JASIN: Sebanyak 14 hotel yang menawarkan bufet Ramadan dikompaun selepas penyediaan makanannya dikesan tidak mematuhi aspek kebersihan dalam Op Ramadan dijalankan sehingga kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menjalankan pemeriksaan ke atas 27 hotel yang menawarkan bufet dan mengeluarkan 14 kompaun.
Katanya, kompaun yang dikeluarkan adalah di bawah Seksyen 32B Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009) melibatkan nilai RM17,600.
“Sejak 4 April sehingga kelmarin, JKN membuat pemeriksaan termasuk di 27 buah hotel dan 14 kompaun dikeluarkan di bawah seksyen 32B melibatkan kebersihan makanan.
“Selain itu JKN juga mengeluarkan kompaun di beberapa premis lain melibatkan nilai keseluruhan RM10,550,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Bandar Baru Merlimau di sini, semalam.
Muhamad Akmal memberitahu, premis yang turut dikenakan kompaun adalah gerai di bazar Ramadan dan kilang ais.
“JKN membuat pemeriksaan ke atas 398 premis makanan termasuk gerai bazar Ramadan dan tujuh kilang ais. Sebanyak tiga gerai di bazar Ramadan dikenakan kompaun RM450, manakala sebuah kilang ais dikenakan kompaun RM2,500,” ujarnya.
Jelasnya lagi, selain kualiti makanan, pemeriksaan dilakukan meliputi aspek kebersihan diri pengendali makanan termasuk kuku, pemakaian apron dan topi. – UTUSAN