12 mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja dibawa pulang - Utusan Malaysia

12 mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja dibawa pulang

SEBAHAGIAN 12 warganegara Malaysia dari Kemboja selamat tiba di KLIA2 selepas berjaya diselamatkan daripada sindiket tawaran penipuan pekerjaan di KLIA2, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 12 daripada 16 warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pagi ini.

Kesemua mereka tiba pada pukul 8 pagi sebelum disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Bagaimanapun, empat lagi mangsa termasuk tiga lelaki dan seorang wanita tidak boleh dibawa pulang ke tanah air hari ini selepas disahkan positif Covid-19.

Amran berkata, baki mangsa lain akan dibawa pulang ke tanah air selepas tamat tempoh kuarantin tujuh hari di Phnom Penh dan keadaan mereka kini dipantau pihak Kedutaan Malaysia di sana.

Beliau berkata, kesemua mangsa itu ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja pada 4 April lalu sebelum di bawa ke Phnom Penh pada 7 April lalu untuk disoal siasat.

“Kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa Kemboja menerusi Polis ASEAN (ASEANAPOL) membolehkan kesemua mangsa berjaya dibawa pulang hari ini.

“Kami difahamkan, kesemua mangsa ini ditahan di negara itu kerana didapati melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang di Kemboja termasuk terbabit dalam sindiket penipuan (scammer) dan judi dalam talian.

“Kita dimaklumkan bahawa Kemboja telah mengharamkan aktiviti perjudian dalam talian sejak 1 Januari 2020 dan kesemua mangsa ditahan menerusi beberapa operasi  bagi membanteras kegiatan itu,” katanya.

Sementara itu, Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima 35 laporan polis membabitkan 45 rakyat tempatan yang terkandas di beberapa negara termasuk Myanmar, Thai dan Laos setakat ini.

Katanya, pihaknya menasihatkan kepada ahli keluarga dan waris yang berdepan situasi sama supaya membuat laporan segera supaya bantuan segera dapat disalurkan.

Dalam pada itu, Amran berkata, pihaknya menasihatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati untuk menerima sebarang tawaran pekerjaan yang ditawarkan menerusi media sosial.

Katanya, mana-mana rakyat Malaysia yang berminat untuk mendapatkan pekerjaan di luar negara supaya menyemak dengan kedutaan Malaysia di luar negara.

Sebelum ini, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong mendedahkan 16 rakyat tempatan menjadi tawanan sindiket penipuan antarabangsa di Kemboja sebelum dipaksa menjadi ‘scammer‘.

Difahamkan, mangsa sebelum itu diumpan sindiket untuk bekerja sebagai operator tele pemasaran dan perkhidmatan pelanggan di Kemboja dengan tawaran gaji lumayan.

Mangsa mendakwa di bawa masuk ke Kemboja menerusi penerbangan atau melalui jalan yang tidak diwartakan atau jalan tikus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.