11 pelajar madrasah cedera, van terbabas elak musang melintas

11 pelajar madrasah cedera, van terbabas elak musang melintas

KEADAAN sebuah van yang terbabit kemalangan di Kilometer 16, Jalan Seremban-Tampin, Rembau, Negeri Sermbilan. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seramai 11 daripada 18 pelajar sebuah madrasah di sini cedera selepas van dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Seremban-Tampin, di sini, awal pagi ini.

Difahamkan, kumpulan pelajar dari Madrasah Hayatul Islam di Batu Hampar itu dalam perjalanan pulang ke madrasah mereka setelah selesai terlibat dalam sebuah program sempena bulan Ramadan di Putrajaya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.43 pagi itu, dua pelajar lelaki masing-masing berusia 13 tahun dan 16 tahun patah tangan kanan dan cedera pada mulut serta gusi.

Menurutnya, kedua-dua pelajar berkenaan menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Rembau manakala sembilan pelajar lain yang mengalami luka ringan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

“Pemandu van pula, Muhammad Tamimi Md Suhot, 26, mengalami luka ringan di jari kiri, dan baki tujuh lagi pelajar tidak mengalami kecederaan serius.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa pemandu bersama 18 pelajar menaiki van jenis Toyota Hiace dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin. 

“Apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai pemandu  hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan akibat mengelak musang yang melintas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazri berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan  masih dijalankan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya