107,000 peserta Felcra terima bantuan RM4.3 juta - Utusan Malaysia

107,000 peserta Felcra terima bantuan RM4.3 juta

MAHDZIR Khalid menyampaikan bantuan kepada salah seorang peserta pada Majlis Iftar Warga FELCRA Padang Terap, Kedah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Felcra Berhad memperuntukkan RM4.3 juta daripada keuntungan tahunan syarikat untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi tersebut pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program berkenaan secara tidak langsung berjaya memanfaatkan lebih 107,000 peserta Felcra di seluruh negara.

“Untuk tahun ini, pelaksanaan program Felcra termasuklah pembangunan ameniti sosial, aktiviti desa, pembangunan usahawan, pembangunan institusi peserta, aktiviti latihan dan kemahiran serta pembangunan wanita dan modal insan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Iftar Warga Felcra Padang Terap di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Terdahulu, Mahdzir menyampaikan sumbangan Felcra Prihatin kepada enam masjid, surau dan pusat tahfiz serta Bantuan Bakul Makanan kepada 610 peserta Felcra Padang Terap.

Tambah beliau, selain program CSR, Felcra turut menitikberatkan tiga teras utama iaitu memperkasa keyakinan, kesejahteraan dan ekonomi pesertanya.

“Apa yang Felcra buat daripada keuntungannya ialah menyalurkan semula keuntungan boleh agih yang diberi balik kepada pesertanya. Felcra juga memperuntukkan kewangan untuk membiayai peniaga-peniaga atau orang yang hendak libatkan diri dalam perniagaan yang dipanggil ekonomi usahawan Felcra,” jelasnya.

Tambah Mahdzir, Felcra melaksanakan program tanggungjawab sosialnya sejak mula dikorporatkan pada 1 September 1997.

“Kita amat meyakini kemampuan Felcra dalam mengimbangi antara kepentingan korporat dan tanggungjawab terhadap para peserta di bawahnya, ” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.