SEMPORNA: Belum pun sempat berpindah ke tempat lebih selesa, mangsa kebakaran perkampungan atas air di Kampung Bangau-Bangau sekali lagi diuji apabila penempatan sementara mereka musnah dalam kebakaran semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 malam itu, 10 blok rumah kongsi penempatan sementara musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Edoen Macheal berkata, kebakaran di kawasan seluas 1.5 ekar itu menyebabkan kira-kira 900 orang mangsa hilang tempat tinggal.
Penempatan sementara yang terbakar itu dibina oleh kerajaan bagi menempatkan mangsa kebakaran rumah setinggan di Kampung Bangau-Bangau pada 2017.
Operasi terkawal pada pukul 12.46 tengah malam dan tamat sepenuhnya pada pukul 3.05 pagi.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (Awam) memaklumkan, kebakaran yang berlaku itu mengakibatkan 105 buah rumah musnah dan menjejaskan 900 orang mangsa.
Kesemua mangsa yang terjejas kini ditempatkan di Dewan Belia dan Sukan Semporna. – UTUSAN










