10,350 peserta Keda terima bantuan RM6.4 juta

10,350 peserta Keda terima bantuan RM6.4 juta

MAHDZIR Khalid (berdiri, tengah) bergambar bersama peserta Keda pada Majlis Iftar Warga Desa Keda di Padang Terap, semalam. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seramai 10,350 peserta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerima bantuan yang bernilai RM6.4 juta untuk meningkatkan pendapatan peserta terlibat pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan dalam bentuk peralatan dan infrastruktur itu disediakan kepada peserta yang terlibat dalam projek pertanian, ternakan dan perniagaan.

Menurutnya, antara jenis bantuan yang diterima peserta Keda itu adalah benih dan baja, jentera pertanian, kandang ternakan, mesin dan peralatan perniagaan.

“Peruntukan tersebut juga melibatkan kursus kemahiran dan  khidmat bimbingan usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Iftar Warga Desa Keda di Pusat Komuniti Padang Kerasak, di sini semalam.

Mahdzir memberitahu, Keda melaksanakan bantuan ekonomi melalui tujuh program utama iaitu Program Tranformasi Desa dan Pengupayaan Komuniti(PTDPK), Projek Pertanian Petani Luar Bandar (PPLB) dan Projek Pembangunan Sawah.

Tambahnya, bantuan ekonomi lain adalah Program Keusahawanan Wanita, Program Transformasi Pembangunan Keusahawanan (EDEP), Program Pembangunan Kemahiran Untuk Komuniti B40 dan Program Pembangunan Semula Kawasan Terbiar (PSKT).

“Maklum balas yang diterima daripada peserta menunjukkan bantuan ekonomi itu memberi manfaat dalam peningkatan pendapatan isi rumah antara 30 hingga 40 peratus.

“Pada masa sama, kita berharap semua peserta dapat memanfaatkan bantuan yang diterima itu dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Jelasnya, bantuan ekonomi yang diberikan kepada peserta terlibat untuk mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.

“Usaha tersebut bertujuan membawa perubahan yang signifikan kepada lanskap kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN