1.2 juta touchpoints jaringan perniagaan ePemula

1.2 juta touchpoints jaringan perniagaan ePemula

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Noraini Ahmad bergambar bersama wakil syarikat e-Dompet pada Majlis Pelancaran ePemula di MMU Cyberjaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Penyertaan keempat-empat e-Dompet yang mengambil bahagian melalui Program ePemula boleh digunakan melalui jaringan perniagaan runcit yang melebihi 1.2 juta touchpoints

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jaringan luas itu melalui empat e-Dompet iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet yang akan memastikan pelaksanaan ePemula secara menyeluruh di seluruh negara.

Katanya, ini termasuk di bandar-bandar kecil, lantas memanfaatkan lebih ramai belia dan pelajar, selain membudayakan satu sistem pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah, telus dan selamat.

“Umum mengetahui bahawa pandemik Covid-19 telah mempercepatkan peralihan dan penggunaan aplikasi digital bagi mempermudahkan pelbagai urusan. 

“Salah satu aplikasi digital yang menjadi kebiasaan hari ini termasuklah pembayaran secara digital. Dan kini, dengan pembukaan kesemua sektor ekonomi dan sosial, penggunaan e-Dompet juga semakin meningkat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ePemula di sini hari ini.

Program yang bakal memanfaatkan dua juta belia itu melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta dengan setiap belia yang layak menerima kredit RM150.

Menurut Tengku Zafrul, sambutan yang menggalakkan melalui aplikasi pembayaran digital itu turut dicerminkan melalui program eBelia yang dilaksanakan pada tahun lalu. 

Katanya, sepanjang tempoh program tersebut mencatatkan pendaftaran lebih dari 580,000 pengguna e-Dompet baharu, dan lebih dari 5,000 peniaga baharu yang mendaftar dengan penyedia e-Dompet.

Malah, kata beliau, semakin banyak kedai yang sudah mula menerima kaedah pembayaran melalui e-Dompet bagi pembelian offline iaitu pembelian secara fizikal di kedai-kedai.

“Pada akhir tahun lalu, Malaysia telah mencatatkan peningkatan hampir 60 peratus bagi pendaftaran peniaga untuk perkhidmatan e-tunai kod QR DuitNow kepada 1.1 juta touchpoints atau pusat pembayaran fizikal.

“Saya juga ingin berkongsi bahawa manfaat padanan berupa cash back, baucar, mata terkumpul atau coins turut ditawarkan oleh penyedia e-Dompet yang boleh digunakan secara dalam atau luar talian selain daripada RM150 kredit e-tunai ePemula. Risik dahulu apa yang ditawarkan oleh setiap e-Dompet dan buatlah pilihan anda,” katanya.

Beliau turut memberitahu, peningkatan jumlah transaksi tanpa tunai sebanyak 74.4 peratus berbanding tahun 2020 kepada 1.1 billion pada tahun 2021 juga jelas menggambarkan bahawa peniaga dan pengguna semakin selesa menggunakan fasiliti tanpa tunai di kedai-kedai. 

“Melalui Program ePemula, kerajaan berharap agar momentum e-tunai ini kekal, terutamanya bagi meneruskan usaha kerajaan dalam memacu penggunaan perkhidmatan kewangan digital. 

“Pelaksanaan e-tunai bukan sahaja memudahkan pengguna, tetapi juga mengutamakan aspek keterangkuman, keselamatan dan ketelusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN