SEREMBAN: Selebriti sensasi, Zarina Anjoulie didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret Seremban semalam selepas mengaku bersalah memasukkan dadah jenis Amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan, pada Jun tahun lalu.
Zarina Anjoulie atau nama penuhnya, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Firdaus Salleh.
Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd. Fazley Ab Rahman.
Pendengaran kes Zarina Anjoulie sepatutnya berlangsung hari ini, namun peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon kepada mahkamah untuk diadakan lebih awal iaitu semalam.
Selain didenda RM4,000, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun dan jika gagal membayar denda berkenaan dia berdepan hukuman penjara empat bulan.
Bagaimanapun, Zarina Anjoulie telah membayar denda itu.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.
Pada 13 September tahun lalu, media melaporkan Zarina Anjoulie didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badan, pada 29 Jun 2021.
Mengikut pertuduhan, dia menggunakan dadah jenis Methamphetamine dan air kencingnya didapati positif dadah jenis tersebut.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya. –UTUSAN










