IPOH: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memberi bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Zambry, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, bagaimanapun tidak menyatakan bila PRU akan diadakan secara lebih terperinci.
“Kebarangkalian suasana politik negara sepanjang tahun 2022 ini akan menyaksikan PRU15.
“Saya tidak tahu bila akan diadakan. Namun dengan izin sama-sama kita mengingatkan berkenaan perkara ini,” katanya.
Berkata demikian ketika ketika sesi membahas Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Mesyuarat Pertama, Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang Ke-14 di sini hari ini.
Pada sesi perbahasan tersebut Zambry turut menyentuh mengenai kestabilan politik di dalam negara dan negeri Perak.
Menurut Zambry, politik dan sistem pemerintahan negara dan Perak khususnya sejak merdeka berada di atas landasan dan demokrasi raja berperlembagaan.
“Kestabilan adalah kunci kejayaan sesebuah negara. Apabila sesebuah negara berada di dalam keadaan kucari-kacir perjalanan politiknya maka terjelmalah segala kepincangan, kecacatan, kelemahan sama ada dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
“Justeru BN mengambil pendekatan kestabilan kerana hanya dengan kestabilan kita dapat membina kemakmuran bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE










