Zakat fitrah Johor RM7 dan RM10 - Utusan Malaysia

Zakat fitrah Johor RM7 dan RM10

MOHD. Fared Mohd. Khalid (tiga kanan) selepas mengumumkan kadar zakat fitrah Johor bagi tahun 2022 dalam sidang akhbar di Iskandar Puteri, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kadar zakat fitrah bagi tahun ini di negeri ini dikekalkan pada dua kadar iaitu RM7 dan RM10 seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, penetapan kadar itu dibuat mengikut gred dan jenis beras yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di negeri ini iaitu timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Katanya, pembayaran zakat itu boleh dibuat menerusi tiga cara iaitu secara dalam talian, di kaunter zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) setiap daerah dan menerusi seramai 1,648 amil dilantik.

“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah menetapkan zakat fitrah RM7 dibayar umat Islam yang menjadikan beras daripada jenis Super Tempatan sebagai makanan harian.

“Zakat RM10 pula dibayar oleh umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras selain daripada jenis Super Tempatan seperti Beras Wangi, Beras Basmathi dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar berhubung Pengumuman Kadar Fitrah 2022, di sini hari ini.

Turut hadir, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md. Rofiki A. Shamsudin.

Sementara itu, Mohd. Fared berkata, pihaknya menyasarkan unjuran pungutan zakat fitrah sebanyak RM18.9 juta bagi tahun ini dengan seramai 2.1 juta umat Islam di Johor layak membayar.

“Kutipan zakat fitrah pada tahun 2021 adalah RM19.9 juta manakala kutipan pada 2020 adalah RM16.7 juta. Sementara itu, MAINJ menetapkan kadar bantuan hari raya tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM14.19 juta.

“Mengikut bancian, bilangan ketua keluarga fakir adalah seramai 7,429 orang manakala bilangan ketua keluarga miskin seramai 29,258 orang. Setiap ketua keluarga fakir akan menerima bantuan RM400 dan tanggungan mereka pula RM50, manakala ketua keluarga miskin RM300 dan tanggungan mereka juga menerima RM50,” jelasnya.

Sementara itu, Nooh mengingatkan orang ramai yang tidak berkemampuan atau terlupa untuk membuat pembayaran zakat fitrah pada tahun-tahun lalu agar melakukannya pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya