KUALA PILAH: Seramai 66,399 murid di seluruh negara menerima manfaat menerusi bantuan wang tunai persekolahan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) sejak tahun 2018 menerusi peruntukan sebanyak RM7.87 juta.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd. Shahrizal Sahri berkata, sejak tahun 2017 sehingga kini juga, seramai 3,277 pelajar mendapat manfaat melalui bantuan awal pengajian institut pengajian tinggi (IPT) menerusi peruntukan RM2.2 juta yang disediakan YBR.
Kata beliau, ia termasuklah sejumlah RM1 juta yang diperuntukan bagi bantuan tersebut tahun ini.
“Program bantuan seperti ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar IPT serta murid sebelum mendapat mana-mana bantuan atau dana dalam meneruskan pengajian sedia ada dan juga sesi persekolahan.
“Inisiatif bantuan pendidikan ini diharap menjadi pendorong kepada organisasi-organisasi lain untuk turut sama membantu dalam memberi bantuan-bantuan sebegini tanpa mengira bentuk atau nilai sumbangan,” katanya dalam Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian dan Bantuan Persekolahan YBR di Kompleks Rakan Muda, Jalan Melang di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Adnan Abu Hassan.
Dalam majlis tersebut, sebanyak RM80,000 hasil peruntukan YBR menerusi bantuan pendidikan kepada disalurkan kepada 600 murid sekolah dan institusi pengajian tinggi di daerah ini sempena pembukaan semula sesi persekolahan dan pembukaan semester di universiti.
Bantuan persekolahan dan bantuan awal pengajian itu disampaikan Adnan kepada murid dan pelajar dan replika cek diserahkan kepada wakil terdiri daripada pemimpin masyarakat tempatan.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyerahkan replika cek berjumlah RM7,560 bagi Program Kelas Tuisyen Yayasan Bank Rakyat kepada calon pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling di sini. – UTUSAN










