PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menasihatkan penduduk yang mendiami kawasan berhampiran cerun bukit di negeri ini sentiasa berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa tanah runtuh.
Peringatan itu susulan cuaca yang tidak menentu dan kemungkinan akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh lagi sekiranya hujan lebat terus melanda beberapa daerah di negeri ini.
Memberitahu Mingguan Malaysia, Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, berdasarkan statistik JBPM Selangor, sebanyak 65 panggilan kecemasan melibatkan tanah runtuh diterima sejak 2020 sehingga Februari lalu.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, panggilan tertinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak 36 kes diikuti 2020 (20 kes) dan dua bulan pertama tahun ini (sembilan kes).
“Sepanjang tempoh sama, sebanyak tiga kematian direkodkan manakala 17 lagi terselamat,” katanya di sini semalam.
Norazam berkata, bagi mereka yang mendiami kawasan cerun tinggi ada kemungkinan berlaku runtuhan tanah dan mereka perlu sentiasa peka memerhatikan kawasan sekitar terutama semasa hujan lebat.
“Pertama sekali kena lihat jika ada rekahan tanah dan jika ada aliran air dari celah tanah atau aliran sungai dari bawah tanah.
“Selain itu, lihat juga keadaan bangunan mungkin terdapat kesan pintu tidak dapat dibuka atau berlaku rekahan dinding dan lantai pecah serta kenal pasti jika ada pokok berhampiran rumah di kawasan curam tumbang. Ini tanda berlaku pergerakan tanah yang mungkin boleh berlakunya tanah runtuh,” jelasnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan melalui pemetaan bahaya dan risiko yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya Raya (JKR) mendapati, sebanyak 1,045 cerun yang berada sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung dikategori berisiko tinggi untuk runtuh.
Dalam kejadian terbaharu tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 itu, empat maut manakala seorang cedera selepas tertimbus dalam runtuhan tanah dalam kejadian Khamis lalu. – UTUSAN










