Warisan bukan pencabar - Nasir Sakaran - Utusan Malaysia

Warisan bukan pencabar – Nasir Sakaran

NASIR Sakaran (dua kanan) ketika mengadakan lawatan ke Pasar Muafakat Sabah, Masai di Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Barisan Nasional (BN) tidak melihat Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai pencabar ketika gabungan itu bertekad untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan Johor Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

Penasihat UMNO Bahagian Semporna, Sabah, Datuk Seri Nasir Sakaran percaya sokongan masyarakat Borneo di kawasan tersebut akan berpihak kepada BN dan bukannya parti yang dilahirkan di Sabah itu.

Beliau berkata, sukar buat masyarakat Sabah khususnya di Parlimen Pasir Gudang untuk memberikan kepercayaan kepada parti baharu yang hanya mencuba nasib dalam arena politik di Johor ini.

“Warisan hanya mahu mencuba nasib, sebab itu mereka tidak meletakkan ramai calon, hanya enam yang disenaraikan kerana hendak tengok sejauh mana sambutan dalam kalangan rakyat Johor. Mereka mungkin menjangkakan dengan bertanding di kerusi Permas dan Johor Jaya mampu menarik undi masyarakat Sabah, tetapi saya yakin mereka tidak akan berjaya dalam hal ini.

“Seperti yang kita tekankan di sini, pengundi Sabah di kawasan ini sudah begitu selesa di bawah BN dan saya fikir ini adalah masa sesuai untuk membalas budi kepada BN dengan mengundi calon mereka,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Pasar Muafakat Sabah, Masai, di sini hari ini.

Kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senalang itu, sudah sekian lama masyarakat Borneo di negeri ini banyak terhutang budi dengan kerajaan BN yang tidak pernah mengabaikan kebajikan mereka.

Kesannya beliau berkata, terdapat penduduk Sabah yang sudah menetap hingga 30 tahun di sini dan selesa setelah diberikan pelbagai kemudahan oleh pihak kerajaan.

“Oleh itu, kita tidak melihat Warisan sebagai pencabar, apa yang mereka boleh buat dengan hanya enam kerusi itu sahaja? Sudah tentu mereka tidak dapat membentuk kerajaan. Sekiranya dia menang sekali pun, kawasan itu akan menjadi mangsa kerana tidak ada apa-apa pembangunan di kawasan tersebut, berbeza dengan kawasan diwakili parti yang membentuk kerajaan baharu nanti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya