Warga emas rugi RM3.9 juta ditipu sindiket Love Scam 

Warga emas rugi RM3.9 juta ditipu sindiket Love Scam 

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Hasrat seorang wanita warga emas untuk dijaga sehingga akhir hayat oleh seorang lelaki warga Korea bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia mengalami kerugian sebanyak RM3.9 juta, dipercayai akibat ditipu sindiket Love Scam.

Selain termakan janji lelaki berkenaan untuk menjaganya, wanita berusia 63 tahun itu turut terpengaruh dengan tawaran projek perniagaan membabitkan pelantar minyak daripada suspek.

Malah, untuk membuatkan mangsa mempercayainya, suspek sering menghantar gambar wajahnya selain video kononnya sedang memandu kereta serta berada di tempat kerja.

Bagaimanapun, wanita itu hanya menyedari ditipu selepas gambar wajah lelaki Korea itu yang dikatakan bekerja di pelantar minyak dikesan disunting daripada gambar milik individu lain.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selepas menyedari ditipu, wanita itu yang tinggal di daerah Timur Laut di sini membuat laporan polis pada 17 Mac lalu.

“Mangsa mengenali suspek menerusi Instagram ketika Disember tahun lalu dan hubungan mereka diteruskan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Wanita berkenaan melakukan 184 kali transaksi pemindahan wang dalam pelbagai jumlah dengan menggunakan 19 akaun bank kepada lelaki ini selepas terpedaya kononnya dia akan menjaganya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, wanita itu yang tidak bekerja menggunakan wang peninggalan mendiang suaminya yang merupakan ahli perniagaan untuk dipindahkan kepada suspek.

“Jumlah wang yang dipindahkan secara berperingkat kepada suspek adalah antara RM9,000 hingga RM50,000 bermula dari Disember tahun lalu hingga bulan ini. Suspek meminta wang daripada mangsa secara berperingkat kerana mahu mengelak daripada dikesan pihak bank,” katanya.

Tambahnya, polis sedang mengesan suspek dan percaya modus operandi membabitkan kes itu sering digunakan oleh lelaki warga Nigeria untuk memperdaya wanita di media sosial.

Dalam masa sama, beliau  menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan media sosial supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan seperti itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya