MIRI: Seorang warga emas melecur pada tangan dan dahi dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah setingkat di Kampung Padang Kerbau di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.17 malam dan segera menggerakkan anggota dan aset dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng untuk ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pihak anggota mendapati kebakaran struktur melibatkan sebuah rumah jenis kekal setingkat telah musnah 85 peratus.
“Terdapat dua orang penghuni rumah berkenaan berjaya keluar menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku, dan mendapati seorang warga emas daripada penghuni rumah berkenaan melecur lima peratus masing-masing di bahagian tangan dan dahi sebelah kanan ketika hendak menyelamatkan diri,” katanya.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak hospital untuk dihantar ke hospital Miri bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Jelas, anggota bomba menggunakan tiga aliran, dua aliran salur bantu mula dan satu aliran 100 kaki hos hantaran air pili bomba dengan punca air dari pili bomba berdekatan pada jarak 300 kaki sehingga kebakaran padam sepenuhnya.
Kerja-kerja pemadaman ditamatkan tepat pukul 12.52 tengah malam dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran di lokasi kejadian. – UTUSAN










