SERIAN: Pemandu sebuah kereta pacuan empat roda maut sementara penumpangnya terselamat dalam nahas jalan raya kendiri di Batu 37, Jalan Kuching-Serian tengah hari tadi.
Mangsa yang maut di tempat kemalangan dikenali sebagai Ana anak Ekang, 52, berasal di Kampung Biawak, Lundu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 12.44 tengah hari melalui MERS 999, pihaknya segera menggerakan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi kejadian.
Katanya, kenderaan pacuan empat roda terbabit telah hilang kawalan dan berpusing sebelum jatuh ke dalam parit sebelah kiri jalan.
Menurutnya, penumpang kereta telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi dan telah dibawa ke hospital menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Pemandu kereta ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
“Pasukan bomba bertindak menarik kenderaan menggunakan ‘winching’ daripada jentera bomba sebelum berjaya mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak KKM untuk pemeriksaan lanjut,” katanys.
Katanya, mangsa (pemandu) yang tidak sedarkan diri telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi.
Mangsa yang maut seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. UTUSAN










