JOHOR BAHRU: Di sebalik tumpuan kepada pengundi berusia 18 hingga 20 tahun yang pertama kali menunaikan tanggungjawab dalam pilihan raya, kelibat warga emas juga tidak boleh dipandang sepi.
Di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Larkin 1, di sini, seorang wanita berusia 73 tahun merupakan antara individu terawal yang hadir ke situ sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Siti Suhaini Kenat tiba bersama rakannya kira-kira pukul 8.15 pagi sebelum selesai mengundi di saluran satu kira-kira 15 minit kemudian.
Menurutnya, dia sudah lebih lima kali menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dan menasihatkan agar orang ramai terutamanya golongan muda keluar mengundi.
“Saya sesudah menunaikan solat Subuh sudah bersedia untuk turun mengundi. Orang muda keluarlah awal untuk mengundi, senang dan mudah kerja nanti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Siti Suhaini merupakan antara 2.53 juta pengundi biasa yang layak mengundi untuk memilih wakil rakyat di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. – UTUSAN