KUANTAN: Seorang ‘mat rempit’ yang ditahan dalam serbuan operasi motosikal bertindak agresif melarikan diri sehingga melanggar anggota polis trafik dalam operasi di Batu Tiga, Jalan Kuantan-Gambang, Ahad lalu.
Susulan kejadian itu, tular dalam laman media sosial Facebook dan Tik Tok video berdurasi selama 33 saat memaparkan seorang penunggang motosikal dipukul beberapa individu tidak dikenali di lokasi kejadian.
Berdasarkan komen-komen netizen, rata-ratanya tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut dan menyalahkan polis tentang kejadian itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, kejadian bermula apabila lelaki tersebut yang menunggang sendirian ditahan polis dan secara tiba-tiba bertindak mahu melarikan diri bagi mengelak ditahan dan disoal siasat.
Menurutnya, tindakan tersebut dipatahkan sehingga beberapa individu tidak dikenali yang merupakan orang awam di lokasi kejadian bertindak memukulnya.
“Kejadian tersebut berlaku pada 20 Mac lalu ketika anggota daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) menjalankan operasi motosikal di kawasan Batu Tiga, Jalan Kuantan-Gambang yang merupakan lokasi tumpuan golongan ‘mat rempit’ melakukan aksi menunggang secara bahaya dan menduga kelajuan sesama mereka.
“Semasa serbuan, seorang penunggang motosikal telah bertindak agresif untuk melarikan diri sehingga melanggar salah seorang anggota trafik yang sedang menjalankan operasi tersebut.
“Sehubungan itu, beberapa orang awam yang tidak dikenali di lokasi operasi bertindak memukul penunggang motosikal tersebut yang cuba melarikan diri selepas pelanggaran berlaku dan ia dilakukan bagi membantu polis menahan penunggang motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam operasi tersebut, sejumlah 34 buah motosikal ditahan dan 74 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Mengulas lanjut, Wan Zahari berkata, penunggang motosikal itu ditahan dan dikenakan saman atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan dilakukannya ialah tiada cermin sisi, ubah suai struktur kenderaan dan tiada nombor pendaftaran.
“Bagaimanapun, dalam kejadian itu, anggota polis yang dilanggar dan penunggang motosikal terbabit tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa video klip yang diviralkan adalah tidak tepat kerana tindakan membelasah penunggang motosikal itu tidak melibatkan mana-mana anggota polis.
Katanya, ia dilakukan oleh orang awam yang kebetulan berada di lokasi bagi membantu pihak polis.
“Polis memberi amaran kepada penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Pendakwaan turut boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN