Usaha memartabat bahasa Melayu gagal?

Usaha memartabat bahasa Melayu gagal?

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu agresif membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Usaha untuk memartabatkan bahqsa Melayu di negara ini gagal disebabkan pelbagai faktor antaranya rakyat Malaysia memandang rendah bahasa ini yang dianggap bukan bahasa ilmu.

Sedangkan bahasa Melayu yang mempunyai penutur paling ramai di nusantara iaitu lebih 300 juta di seluruh dunia berpotensi menjadi bahasa ASEAN kerana usaha ke arah itu  dirintis oleh pemimpin dan pejuang bahasa terdahulu.

Jika berasaskan usaha agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan, Bahasa Melayu sepatutnya sudah menjadi bahasa ASEAN sejak tahun 2020 lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pejuang Bahasa Melayu, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, usaha mendaulatkan Bahasa Melayu bermula pada era Tun Sri Lanang, Pendeta Zaaba (Zainal Abidin Ahmad), Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Syed Nasir Syed Ismail dan Prof Datuk Dr. Nik Safiah Karim. 

ARIPIN SAID

Menurut beliau, gerakan meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan bahasa rasmi telah dimulakan sejak pasca merdeka seperti penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan yang memfokuskan kempen cintai Bahasa Melayu yang dipelopori penganjuran  oleh DBP.

“Tujuan utama program itu untuk mendidik masyarakat berbilang bangsa memartabatkan bahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek dan bidang ke arah kelestarian Bahasa Melayu sebagai bahasa kelas dunia yang praktikal dan realistik. 

“Lebih mendukacitakan, ada dalam kalangan rakyat mengagungkan bahasa Inggeris serta berkomunikasi dalam dwibahasa yang bercampur sekali gus menjejaskan kelestarian Bahasa Melayu,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Aripin berkata, bilangan penutur Bahasa Melayu di dunia yang kini sudah melebihi 300 juta orang perlu dikembangkan martabatnya supaya dapat mengembalikan zaman kegemilangan ‘lingua franca’ Bahasa Melayu dalam era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

“Dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu, peranan pemimpin dan wakil rakyat penting kerana penggunaan bahasa komunikasi mempengaruhi rakyat,” katanya.  

Oleh itu, tegasnya, dalam keghairahan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini, pemimpin parti-parti politik perlu menggunakan Bahasa Melayu standard tanpa mencampur aduk dengan bahasa Inggeris.

Tambah beliau, jika menggunakan bahasa Inggeris harus menggunakan sepenuhnya bahasa itu tanpa mencampuradukkan dengan bahasa Kebangsaan.

Tegasnya, perkembangan Bahasa Melayu akan terbantut dan hilang martabatnya apabila pengguna sewenang-wenangnya ‘bercakap sedap mulut’ sekali gus boleh menghilangkan perbendaharaan kata yang menjadi tunjang keindahan bahasa itu.

“Sekiranya tiada kesungguhan untuk memartabatkan Bahasa Melayu ada kemungkinan bahasa ini menjadi bahasa pasar dan bahasa pijin dan kreol yang dituturkan warga asing dan orang Melayu Sri Lanka dan Afrika Selatan,” katanya.

Aripin yang juga bekas pensyarah Bahasa Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi contoh beberapa bahasa dunia semakin pupus iaitu bahasa Tagalog Filipina, bahasa Sanskrit dan bahasa etnik Orang Asli di negara ini.

Ini kerana ujarnya, apabila tiada pendukung bahasa-bahasa berkenaan disebabkan pelbagai faktor seperti sentimen pandang rendah bahasa sendiri. 

Beliau berkata, sudah sampai masanya Bahasa Melayu dimartabatkan selepas lebih 64 tahun sejajar dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Negara yang disusuli slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.

“Kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pemimpin nombor satu negara memartabatkan Bahasa Melayu dalam persidangan antarabangsa menjadi perintis ke arah menjadikan bahasa ini sebagai bahasa ASEAN.

“Perdana Menteri telah menegaskan bahawa Malaysia hanya akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa,” katanya. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.