LIPIS: Kerajaan Pahang tetap bertegas dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah kononnya kerajaan negeri mengabaikan kepentingan pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sudah pun melaksanakan pelbagai cara dan inisiatif pengurusan tentang hutan serta kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat.
“Kita komited melaksanakan pengurusan dan pemuliharaan bagi Hutan Simpan Kekal (HSK) berkeluasan 1.59 hektar dan kawasan berhutan (2.04 hektar), iaitu meliputi 57 peratus keluasan negeri.
“Antara dilaksanakan pewartaaan HSK, tambahan hutan tadahan air, tanah kerajaan membabitkan persempadanan dengan negeri jiran, iaitu Kelantan, Perak, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dikenali sebagai Sempadan Hijau,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2022 di Hutan Simpan Tanum, Sungai Yu, dekat sini hari ini.
Berkenan berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang kemudiannya turut berkenan menanam benih pokok Tampoi di kawasan pemuliharaan Hutan Simpan Tanum.
Menurut Wan Rosdy, setiap projek pembangunan di Pahang dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurutnya, kerajaan negeri juga meluluskan beberapa kawasan HSK di Jelai dan Tanum sebagai koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) dan mewartakan hutan simpan di Sungai Ikan, Ulu Telom, Cameron Highlands sebagai HSK.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang menimbang untuk mewartakan kawasan seluas 863.85 hektar di Sungai Yu, Lipis sebagai HSK antara inisiatif menyokong CFS bagi tujuan pemuliharaan flora-fauna untuk pembangunan sektor ekopelancongan.
Selanjutnya, beliau menambah, bagi memperkasakan sektor ekopelancongan dan sumber biodiversiti, kerajaan negeri telah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNG) dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang (MBNP) mengenai dasar umum pemeliharaan, penggunaan, kawalan, pengurusan, pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negara Pahang.
“Keduanya berfungsi sebagai penasihat kepada kerajaan negeri bagi melindungi alam semula jadi dan sumber biodiversiti, kajian dasar bioteknologi dan melindungi harta intelek khazanah flora dan fauna termasuk aspek promosi dan pengiklanan kawasan ekopelancongan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah melancarkan Kempen 100 juta pokok ditanam di kawasan hutan dan sehingga kini sudah mencapai 3.3 juta benih pokok ditanam melibatkan usaha pelbagai lapisan masyarakat dan agensi kerajaan.
“Kerajaan menyasarkan penanaman sebanyak lima juta benih pokok setahun menerusi kempen ‘1Pokok, 1Rakyat Pahang’ yang telah dimulakan sejak dilancarkan pada 31 Disember 2020 di Cameron Highlands.
“Di samping itu, kita juga mengadakan projek pemuliharaan Tasik Chini sebagai HSK dengan pembinaan benteng dan penanaman semula hutan,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan negeri menggalakkan para penyelidik di Institusi Pengajian Tinggi Awam, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan penyelidikan biodiversiti Taman Negeri Rompin dengan menyediakan geran bernilai RM50,000 setahun.
“Bagi tujuan penguatkuasaan dan pemuliharaan hutan, sebanyak 77 kes pelbagai kesalahan hutan telah dilaporkan dan 11 kes sehingga ini telah dihadap ke mahkamah dengan melibatkan kompaun dan ganti rugi bernilai RM3.9 juta,” ujarnya. – UTUSAN