KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) terus komited untuk menempa nama dan melonjakkan keberadaannya di antara institusi pengajian tinggi di Kalimantan Timur.
Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata dengan pengumuman Nusantara (ibu negara baharu Indonesia) di Palangkaraya, Kalimantan Timur akan memberi peluang kepada UNIMAS untuk meletakkan diri di antara barisan institusi pengajian tinggi yang terulung di Borneo.

“Berbekalkan hasrat murni ini, UNIMAS turut merangka pendekatan lebih agresif pada tahun 2022 dalam mengeratkan dan menguatkan peranan, sumbangan serta penglibatannya dalam pengembangan ilmu melalui perancangan dan pembentukan kerjasama rakan-rakan strategik di universiti-universiti pengajian tinggi di Kalimantan, Indonesia.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Unimas termasuklah membuka Pusat Pemberian Vaksin IPT berstatus Mega, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), penyelidikan berkaitan COVID-19, membantu kerajaan negeri membuat ujian diagnostik bagi pengesanan Covid=19 serta kajian pengesanan antibodi pasca vaksinasi.
“Justeru UNIMAS juga akan terus komited menyokong pihak kerajaan persekutuan dan negeri dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Anugerah Gemilang Unimas (MAGU) 2022 di Unimas hari ini.
Sementara itu, ujar Dr Mohamad Kadim objektif utama majlis MAGU adalah untuk meraikan para penerima Anugerah Kecemerlangan bagi tahun 2021, dalam akademik, pengurusan mahupun perkhidmatan.
“Di samping itu, MAGU turut menjadi acara signifikan bagi meraikan 28 pesara dan bakal pesara Unimas, yang telah banyak menyumbang jasa dan khidmat bakti kepada universiti”, katanya.
Malah, kata beliau keupayaan untuk menempa pencapaian gemilang dengan melangkaui Batasan keselesaan juga perlu disemarakkan.
Katanya, penularan pandemik COVID-19 yang memasuki tahun ketiga juga merupakan tempoh yang sangat mencabar.
“Namun musibah yang melanda in bukan alasan untuk kita memperlahankan produktiviti mahupun kecemerlangan kita di tempt kerja,” kata beliau.
Semua usaha ini, katanya selari dengan amanat Premier Sarawak baru-baru ini yang menyeru penglibatan aktif semua kakitangan awam persekutuan di Sarawak untuk terus mengembleng tenaga dalam usaha membantu kerajaan negeri mengekalkan kesejahteraan, keharmonian serta memacu sektor sosial dan ekonomi di Bumi Kenyalang.
Pada majlis berkenaan sebanyak 23 kategori anugerah telah disampaikan dalam pelbagai bidang akademik, pengurusan, penghargaan staf dan juga pelbagai kategori anugerah utama termasuk 172 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2021. –UTUSAN