SUNGAI PETANI: UMNO Bahagian Sungai Petani mengharapkan perwakilan UMNO dapat membuat ketetapan dalam usaha memperkasa dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) pada Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 19 Mac.
Ketuanya, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, beliau percaya perpaduan Melayu dan Islam dapat diperkukuhkan melalui pakatan UMNO dan Pas dalam MN.
“Kami (UMNO Bahagian Sungai Petani) mengharapkan kepimpinan parti dapat memikirkan kaedah dan jalan penyelesaian terbaik untuk memperkasakan sekali gus memperkukuhkan MN agar perpaduan Melayu dan Islam dapat diperkasakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya percaya MN yang dimeterai di antara dua parti itu pada September 2019, masih wujud dan belum ada batu nisannya.
Beliau berkata, ini kerana sehingga kini tiada mana-mana pemimpin sama ada dalam PAS dan UMNO yang mengisytiharkan kerjasama itu sudah tamat.
Shahanim menambah, penyatuan MN penting untuk melihat umat Melayu saling bersatu.
“Umat Melayu kena muhasabah untuk memastikan penyatuan Melayu akan lebih kukuh selepas ini,” ujarnya.
Selain itu, Shahanim menambah, beliau juga berharap agar terdapat desakan supaya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’ untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak 2020. – UTUSAN










