SIMPANG RENGGAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengutuk sekerasnya tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang menggunakan peperangan bagi menyelesaikan konflik dengan Ukraine.
Dr. Mahathir berkata, Malaysia sejak pemerintahan beliau lagi berjuang untuk mengharamkan peperangan yang menyebabkan nyawa tidak berdosa menjadi mangsa.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak boleh menyokong pihak yang menggunakan peperangan sebagai alat untuk menyelesaikan konflik antara dua negara.
“Hari ini kita lihat Rusia telah menggunakan peperangan untuk menawan dan selesaikan masalah, kita tidak boleh sokong pihak yang menggunakan peperangan sebagai jalan penyelesaian.
“Sebarang pertikaian antara kerajaan dengan kerajaan seharusnya diselesaikan menerusi rundingan, court of law, itu adalah cara yang terbaik, bukannya peperangan. Rusia nampaknya bertindak sebaliknya apabila menggunakan tentera untuk selesaikan pertikaian mereka dengan Ukraine,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Rusia melancarkan misi ketenteraan berskala penuh pada 24 Februari lalu dengan serangan pelbagai arah bagi menggulingkan kerajaan Ukraine dan menubuhkan rejim boneka baharu. Ia digerakkan Moscow atas alasan konon Kyiv melakukan dasar ala Nazi ke atas etnik Rusia di negara Eropah tersebut selain hasrat mahu menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara.
Malaysia dijangka menyokong draf resolusi mengecam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) esok.
Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Syed Mohamad Hasrin Aidid Tengku Hussin memberi bayangan itu ketika berucap pada sesi khas ke-11 semalam selain mengambil contoh insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh puak pemisah Rusia di Ukraine yang bergolak dan mengorbankan kesemua 298 mangsa pada 2014. – UTUSAN