KANGAR: Cubaan tujuh warga Myanmar termasuk seorang wanita cuba menyeludup masuk ke negara ini gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi dalam Op Landai di kawasan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Perlis, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, kesemua suspek ditangkap Unit Risikan Marin (URM) dan dibantu anggota Unit Risik Kompeni D Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Perlis.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Polis Shamsol Kasim berkata, pemeriksaan terhadap kesemua enam lelaki dan seorang perempuan berusia antara 17 hingga 48 tahun tersebut didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
“Ketujuh-tujuh individu berkenaan disyaki merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang baru sampai dari Thailand.
“Pasukan serbuan turut dibantu oleh Pasukan Op Benteng Balai Kuala Perlis untuk memeriksa kawasan berkenaan dan telah menemukan seorang lelaki warga asing sedang menunggu di dalam sebuah kenderaan di kawasan berhampiran.
“Setelah melakukan pemeriksaan mendapati individu berkenaan merupakan tekong darat sedang menunggu ketujuh-tujuh individu untuk dibawa pergi,” katanya di sini hari ini.
Tambah Shamsol, siasatan awal mendapati bayaran yang dikenakan kepada warga Myanmar untuk masuk ke negara ini ialah sekitar RM3,000 hingga RM5,000 seorang dan dibayar oleh ejen di negara terbabit.
Katanya, kesemua mereka yang ditangkap itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Akta Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
“Pihak polis menyeru kepada seluruh rakyat untuk menyalurkan maklumat sebarang kegiatan jenayah bagi menjaga keselamatan dan kemakmuran negara ini,” jelasnya. – UTUSAN