JOHOR BAHRU: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan tujuh pemandu termasuk seorang wanita kerana memandu dalam keadaan mabuk ketika operasi yang dijalankan di Jalan Mutiara Emas Utama, Taman Mount Austin di sini, lewat malam tadi.
Menurut kenyataan IPD terbabit, Op Mabuk itu dijalankan bermula pukul 11 malam dan tamat pada pukul 4 pagi, hari ini.
“Dalam operasi tersebut seramai 89 individu dan sebanyak 75 kenderaan diperiksa. Daripada jumlah itu, polis menahan enam lelaki dan seorang perempuan tempatan yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Selain itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD turut menahan seorang lelaki tempatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghalang dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, polis turut mengeluarkan sebanyak 24 keping saman atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh operasi berkenaan dijalankan.
Operasi berkenaan diketuai Inspektor Amir Haikal Kasim bersama tujuh anggota daripada BSPT IPD JBS bertujuan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas serta mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Polis tidak akan berkompromi dengan pemandu mabuk dan operasi secara berterusan akan dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 serta boleh dipenjara maksimum dua tahun. – UTUSAN










