GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Suruhanjaya Siasatan (COI) berhubung tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang.
Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, COI perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca tanah runtuh sekiranya berlaku kecuaian oleh sesiapa termasuk pihak berkuasa.
Malah katanya, menerusi COI itu juga langkah-langkah pemulihan dan pencegahan yang diperlukan dapat dikenal pasti termasuk sama ada undang-undang dan garis panduan sedia ada bagi perlindungan tanah bukit dan keselamatan cerun adalah mencukupi atau memerlukan penambahbaikan.
“COI ini amat diperlukan memandangkan kawasan Ampang sangat terdedah kepada tanah runtuh seperti yang terbukti daripada tragedi keruntuhan Highland Towers pada 1993.
“Nampaknya tidak ada pengajaran daripada tragedi tersebut yang telah meragut nyawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Khamis lalu meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.
Menurut Meenakshi, pihak berkuasa perlu mencegah tragedi seperti itu berlaku pada masa depan sementara menjalankan langkah-langkah pemulihan untuk memastikan keselamatan penduduk di zon tanah runtuh.
“COI bukan satu perkara baharu malah di dilaksanakan di Pulau Pinang susulan tragedi tanah runtuh yang meragut 11 nyawa pada 2017.
“Ini membawa kepada penambahbaikan garis panduan cerun bukit dan didapati jurutera perunding yang diupah oleh pemaju bertanggungjawab atas kecuaian,” katanya.
Tambahnya, pihak terlibat perlu mendalami perkara itu, bukan semata-mata mengaitkan tanah runtuh dengan hujan lebat di sebabkan kekerapan dan intensiti hujan akan meningkat lanjutan kesan perubahan iklim.
‘Apa yang diperlukan adalah untuk bergerak ke arah mengukuhkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim seperti yang dinyatakan dalam laporan Panel Antara Kerajaan mengenai perubahan iklim baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN