TRRC bantu 9,500 pencarum Perkeso

TRRC bantu 9,500 pencarum Perkeso

KAKITANGAN Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Melaka membuat ujian pendengaran. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kira-kira 9,500 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengalami kemalangan hingga menyebabkan mereka lumpuh atau cacat kekal dirawat di Pusat Rehabilitasi Tun Abdul Razak (TRRC), di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Hafez Hussain berkata, kira-kira 381 katil disediakan di pusat tersebut yang mana sentiasa berada dalam keadaan penuh dan mempunyai senarai panjang menunggu untuk kemasukan.

Beliau berkata, program-program yang disediakan di TRRC adalah demi memenuhi keperluan masyarakat supaya Orang Berinsurans (OB) dapat kembali ke alam pekerjaan dan mampu berdikari semula.

“Kami berasakan masih banyak individu yang tidak tahu keberadaan TRRC, mereka perlu tahu tentang hak-hak mereka jika memerlukan rawatan ataupun program rehabilitasi yang komprehensif bagi memulihkan OB supaya boleh kembali fungsi seperti biasa.

“TRRC mempunyai teknologi terkini yang diperkenal sebelum ini seperti alat-alat robotik dahulunya diperoleh dari negara barat dan terkini daripada Jepun iaitu peralatan neuro-robotik. Peralatan itu adalah kebangaan kita kerana Malaysia adalah negara keempat mempunyai peralatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar sempena program lawatan media ke TRRC.

TRRC adalah sebuah pusat rehabilitasi bertaraf antarabangsa yang diiktiraf sebagai antara pusat terbaik di rantau Asia Pasifik serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan turut menyediakan program rawatan rehabilitasi perubatan dan vokasional kepada OB Perkeso.

Mula beroperasi sejak Oktober 2014, TRRC bermatlamat membantu individu yang mengalami hilang upaya agar dapat dipulihkan secara optimum sekali gus dapat kembali ke alam pekerjaan dan mencari punca pendapatan serta kembali menyumbang secara aktif kepada masyarakat.

Hafez memaklumkan, peralihan ke fasa endemik membenarkan perkembangan TRRC dengan membuka ruang untuk mengadakan program-program terkini seperti rehabilitasi secara telekonferensi.

“Tak kira di mana sahaja OB berada, kita boleh berada bersama mereka dengan menggunakan apa sahaja teknologi yang ada untuk meneruskan program rehabilitasi tersebut dan ia sudah dikembangkan semasa pandemik Covid-19.

“Tidak semua bernasib baik untuk hadir ke TRRC. Oleh itu untuk mengurangkan jurang tersebut kita akan menggunakan pelbagai teknologi seperti internet dan terkini memberi alat-alat yang boleh digunakan dengan mudah di rumah agar OB tidak terlalu lama berada di pusat tetapi dapat meneruskan program rehabilitasi,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN