TEMERLOH: Pahang bakal memiliki sebuah trek litar kereta kawalan jauh bertaraf antarabangsa yang mana ia akan menjadi salah satu tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini.
Trek itu akan dijadikan pusat setempat untuk menjalankan aktiviti bermain permainan alat kawalan jauh seperti kereta, bot, helikopter dan kapal terbang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pembinaan litar tersebut sedang diperhalusi supaya ia menepati piawaian antarabangsa.
Menurutnya, Pahang khususnya Temerloh sebagai titik tengah Semenanjung mempunyai lokasi sesuai untuk pembinaan trek itu yang kosnya dianggarkan berjumlah RM300,000.
“Sukan lumba kereta kawalan jauh kian mendapat sambutan oleh pelbagai golongan dan minat itu perlu dikembangkan dan disokong,” katanya pada majlis Kejohanan Lumba Kereta Kawalan jauh anjuran Kelab Kechik Warrior Taman Gopeng di sini hari ini.
Kejohanan sehari itu menarik 50 peserta dari Temerloh, Kuantan, Lipis, Bentong, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur.
Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Temerloh, Azril Sarit dan Pengerusi Kelab Kechik Warrior, Shaiful Bahari Mohamad.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar mengakui sukan itu berpotensi dijadikan satu tarikan baharu pelancongan yang perlu diperluaskan dan dinaik taraf selari keghairahan peminatnya.
Beliau berkata, sukan kereta lumba kawalan jauh adalah hobi yang mencabar dan mencetuskan ketajaman pemikiran mengawal pergerakan kereta.
Katanya, sukan ini sesuai untuk semua lapisan usia dan kerana wanita pun boleh menceburinya terutama beraktivi dihujung minggu dan cuti umum. – UTUSAN