KOTA BHARU: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menerima sumbangan sebanyak RM6.5 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mewujudkan tiga lagi Anjung Kasih YKN di hospital utama di tiga negeri.
Anjung Kasih YKN tersebut bakal diwujudkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini; Hospital Serdang, Selangor dan Hospital Melaka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, Anjung Kasih merupakan perkhidmatan penginapan khusus keluarga pesakit yang dirawat di hospital.
“Menerusi Anjung Kasih, waris yang menemani pesakit di hospital tidak perlu berulang alik dari rumah ke hospital atau menginap di hotel dengan kadar sewa yang tinggi dan membebankan
“Setakat ini 80,574 waris pesakit mendapat manfaat dari 16 Anjung Kasih yang diwujudkan di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyampaian tajaan tersebut di HRPZ II, di sini hari ini.
Rina menambah, Anjung Kasih YKN di HRPZ II membabitkan kos sebanyak RM1.5 juta dan dijangka mula beroperasi pada Disember 2022.
“Insya-Allah di HRPZ II ini, Anjung Kasih YKN memuatkan 84 katil dalam satu-satu masa dengan penginapan lelaki dan wanita diasingkan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – UTUSAN










