TNB digesa batal cadangan bekal elektrik kepada pelombong kripto - Utusan Malaysia

TNB digesa batal cadangan bekal elektrik kepada pelombong kripto

MOHIDEEN ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) membatalkan cadangan membekalkan elektrik kepada pengendali pelombong mata wang kripto.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, cadangan itu tidak masuk akal kerana melombong mata wang kripto menggunakan jumlah elektrik yang banyak sekali gus memberikan kesan sampingan yang amat serius terhadap alam sekitar, penggunaan tenaga dan pemuliharaan.

Jelas beliau, pada asasnya melombong mata wang kripto melibatkan rangkaian mesin khas yang dikenali sebagai pelantar perlombongan dan berfungsi sepanjang tempoh 24 jam sehari.

Jelasnya, pelantar dengan tiga kad grafik (unit pemprosesan grafik) boleh menggunakan 1,000 watt tenaga atau lebih apabila beroperasi dan untuk melombong mata wang kripto, beratus atau beribu pelantar terlibat pada satu-satu masa.

“Daripada membenarkan pengendali perlombongan mata wang kripto memohon bekalan elektrik yang sah dan memberikan tarif istimewa, Malaysia seharusnya mempercepatkan pengenalan meter pintar kalis diusik di seluruh negara supaya sebarang kecurian elektrik boleh dikesan pada peringkat awal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, pada 2018 Jabatan Perangkaan memaklumkan penjanaan elektrik negara sebahagian besarnya bergantung kepada arang batu (46 peratus) dan gas asli (39.7 peratus).

Ini bermakna jelasnya, penjanaan elektrik tidak mesra alam sekitar sepenuhnya menghasilkan sejumlah besar karbon dioksida, gas rumah hijau, yang menyumbang kepada pemanasan global.

“Sehubungan itu, kami ingin mengulangi pendirian yang mana TNB perlu mengelakkan strategi yang tidak berpandangan jauh yang akan membawa kepada peningkatan jejak karbon Malaysia, peningkatan gas rumah hijau dan sisa elektronik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN