PETALING JAYA: Tiga individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan tawaran darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri melibatkan kerugian RM294,850.
Kesemua suspek berusia 29 hingga 39 tahun itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur pada Khamis dan Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, tangkapan dibuat susulan laporan seorang pengedar kit perubatan farmasi pada 8 Mac.
Menurutnya, mangsa berusia 33 tahun mendakwa telah ditawarkan darjah kebesaran Datuk Seri oleh salah seorang suspek pada 1 Disember lalu namun syaratnya mangsa perlu mendermakan wang sebanyak RM300,000 kepada pihak istana.
“Susulan itu, mangsa telah buat bayaran tunai sebanyak RM200,000 serta pindahan wang sebanyak RM94,850 ke dalam akaun suspek sejak 14 Januari hingga 31 Januari lalu.
“Mangsa telah diberikan dokumen watikah penganugerahan darjah kebesaran, dua keping kad Ahli Setia Diraja dan dua unit logo atau emblem kereta darjah kebesaran milik sebuah negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Mahidisham, rakan mangsa yang merupakan seorang Datuk Seri memaklumkan pelantikan tersebut adalah meragukan.
Jelasnya, seorang daripada suspek mendakwa dirinya bergelar Datuk Seri namun semakan dengan Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi, mengesahkan suspek tiada di dalam senarai rekod.
“Kita turut merampas dokumen pengurniaan darjah kebesaran dalam serbuan tersebut,” katanya. – UTUSAN