Tiga individu direman bantu siasatan kes jumpa mayat wanita dalam gaung - Utusan Malaysia

Tiga individu direman bantu siasatan kes jumpa mayat wanita dalam gaung

MAYAT seorang wanita yang ditemukan dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus, Seremban pada Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua lelaki dan seorang wanita ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, perintah reman terhadap suspek lelaki, masing-masing berusia 41 dan 44 tahun, serta seorang wanita berusia 18 tahun itu bermula hari ini hingga 29 Mac depan.

“Dua lelaki ditahan di sebuah rumah di Taman Nee Yan, Temiang manakala wanita itu pula ditahan di Jalan Persiaran Utama S, Seremban 2,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nanda, mayat tersebut dipercayai rakyat tempatan dan pihak polis masih dalam proses mengesan pengenalan atau identiti tepat mangsa.

Semalam beliau memaklumkan, hasil laporan bedah siasat mayat tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengesahkan punca kematian mangsa.

Nanda berkata, berdasarkan maklumat awal mangsa telah meninggal dunia antara empat ke lima hari dan identitinya sukar dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang sudah mereput.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang lelaki yang sedang berjoging dikejutkan dengan penemuan mayat dipercayai perempuan dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus di sini pada Ahad lalu.

Anggota renjer yang bertugas di kaunter Pejabat Jabatan Perhutanan di Ulu Bendul, Kuala Pilah menyatakan telah didatangi oleh seorang lelaki berusia 50-an pada pukul 10.50 pagi.

Lelaki itu memberitahu semasa sedang berjoging dan ingin mengambil gambar telah menemukan mayat perempuan dalam keadaan tertiarap.

Kejadian berlaku di tepi Jalan Lama Bukit Putus di mana mayat ditemukan dalam gaung bawah jambatan, tempat kejadian jauh dari kawasan perumahan dan sunyi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN