‘Tidak adil kata Melayu tiada tempat dalam DAP’

‘Tidak adil kata Melayu tiada tempat dalam DAP’

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar (kanan), Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming(dua dari kanan) dan Adun Sungkai, A. Sivanesan (kiri) selepas memenangi pemilihan Ahli Jawatankuasa DAP Perak pada Konvensyen DAP Perak di Ipoh baru-baru ini. -UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sembilan orang Melayu yang tidak terpilih dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sesi 2022-2025 bukan gambaran sebenar bahawa Melayu tiada tempat dalam parti itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, jika dibandingkan dengan 93 orang yang bertanding dalam CEC itu, jumlah Cina dan India lebih banyak tidak dipilih berbanding 10 orang Melayu yang bertanding untuk jawatankuasa tersebut.

“Saya rasa proses pemilihan seperti biasa dan juga sebenar­nya daripada pemilihan yang dibuat, perwakilan dah pilih YB Rara (Young Syefura Othman), pada saya pemilihan itu dipilih merentas kaum. Isunya, calon Melayu yang bertanding kali ini lebih ramai berbanding sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk menggambarkan penolakan Melayu oleh parti DAP itu, saya rasa tidak adil sebab sebahagian besar yang bertan­ding dalam pemilihan itu juga banyaknya dari parti Cina dan India, juga tidak dipilih oleh perwakilan. Jadi nak kata penolakan Melayu oleh DAP, pada saya kurang adil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sheikh Umar antara 10 orang yang bertanding dalam CEC DAP sesi 2022-2025.

Antara nama lain yang turut bertanding adalah Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; ADUN Tebing Tinggi yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdul Aziz Bari; ADUN Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari, Abdul Aziz Isa Marindo, Azaha Abdul Rani, Mohammad Basar Umar, Syahredzan Johan dan Wan Hamidi Hamid.

Namun, yang menang hanya seorang dan calon wanita Melayu iaitu ADUN Ketari, Young Syefura memperoleh 991 undi.

Sheikh Umar berkata, walaupun agak sukar untuk mendapatkan kepercayaan Melayu setelah DAP dilabel sebagai parti Cina, namun ia bukan suatu yang mustahil untuk dilakukan.

“Kita kena sedar perjuangan DAP bukan mengikut warna kulit, tetapi bagaimana DAP telah disudutkan sebagai parti Cina oleh Barisan Nasional. Jadi, perkara itu secara tidak langsung menyebabkan dinamik politik meletakkan DAP adalah untuk bangsa Cina. Perkara itu menyebabkan ahli DAP, ramai orang Cina.

“Untuk menarik orang Melayu, saya tahu ada cabaran yang kita kena hadapi, saya tahu sukar dan mencabar. Tetapi selagi DAP bergerak atas dasar dan perlembagaan, ia bukan suatu perkara yang mustahil. Cabaran itu tetap ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi calon Melayu yang bertanding dalam CEC DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menerusi WhatsApp kepada Utusan Malaysia turut berkata, tidak timbul isu Melayu ditolak dalam CEC DAP kerana persaingan memang sengit dan ukur DAP lebih dilihat kepada merit dan bukannya perkauman.

“Tidak timbul orang melayu diketepikan. Dalam DAP lebih kepada merit bukan perkauman. Cawangan DAP Melayu Dan orang asli masih berkurang jika dibandingkan dengan Kaum Cina, India.

“Pertandingan agak sengit, setiap cawangan ada pilihan masing masing. Jadi, setiap calon kena bagi keyakinan kepada semua cawangan seluruh Malaysia untuk memilih calon pilihan mereka sendiri, itu agak sengit. mungkin ada juga yang ingin cuba-cuba nasib,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×