PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan tiada unsur monopoli berlaku dalam sistem pengurusan baharu kemasukan dan kuarantin pekerja warga asing di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak untuk melancarkan sistem itu.
“Tiada monopoli walaupun hari ini kita ada kerjasama Koperasi Persatuan Perubatan Malaysia (Koop MMA) bahkan saya pelawa sesiapa yang berminat untuk turut serta bersama,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Komitmen Rakan Kongsi bagi pengurusan proses saringan dan kuarantin para pekerja asing di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim dan Pengerusi Koop MMA, Dr. Thirunavukarasu Rajoo serta pihak terlibat bagi usaha sama komersial yang membentuk eMedAsia iaitu antara sayap pelaburan MMA dan anak syarikat Hong Seng Consolidated Berhad menerusi HS Bio Group Sdn. Bhd.
Kerjasama itu juga menyaksikan penglibatan hampir 3,000 klinik dengan akses meliputi 14,000 doktor di seluruh Malaysia dalam menjayakan proses tapisan bersepadu pekerja asing.
Abd. Latiff berkata, pihaknya optimis menerusi perjanjian tersebut, ia turut membabitkan panel hotel terpilih sebagai pusat kuarantin swasta di bawah pengendalian Faz Group Sdn. Bhd.
“Justeru, kerajaan terbuka jika ada pihak korporat lain yang mahu bantu Nadma dalam proses saringan dan pengasingan kerana ia semua ditanggung majikan pekerja asing itu,” katanya.
Beliau pada masa sama menambah, pihak yang ada hasrat murni sedemikian bagaimanapun perlu mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) termasuk garis panduan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 demi menjaga kebajikan pekerja terbabit daripada penganiayaan.
Langkah tegas itu jelasnya, amat perlu kerana kerajaan mahu menghapuskan persepsi buruk negara Barat yang masih serong menganggap Malaysia mengamalkan jenayah buruh paksa.
Sehubungan itu kata Abd. Latiff, Nadma selaku pengawal selia akan memantau rapi semua kerjasama dengan sektor swasta agar kekal memenuhi tahap standard bertaraf antarabangsa.
“Kita sudah bersedia menyambut anggaran lebih 300,000 pekerja asing yang dijangka masuk secara berperingkat terutama bermula untuk sektor perladangan dan pembinaan,” katanya. – UTUSAN










