Tiada halangan PBT di Perak guna tulisan Jawi - Utusan Malaysia

Tiada halangan PBT di Perak guna tulisan Jawi

NOLEE Ashilin Mohammed Radzi (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian Hari Seniman Negara di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri tiada halangan sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) mahu melaksanakan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan di kawasan pentadbiran masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, bagaimanapun PBT perlu mendapat persetujuan daripada komuniti terlibat terutama dalam kalangan bukan Islam.

“Di peringkat kerajaan negeri kita tidak ada (ketetapan tulisan Jawi) kerana itu adalah usaha-usaha yang digerakkan PBT mengikut kesesuaian kawasan. Kerajaan negeri juga sebenarnya tidak ada halangan berhubung perkara itu sekiranya pihak kerajaan tempatan telah mendapat sokongan daripada penduduk,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara dan Hari Seniman Negara peringkat negeri di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Perak di sini hari ini.

Mengulas penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda di sekitar Kuala Kangsar, Nolee Ashilin  berkata, langkah yang diambil Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) itu telah mendapat persetujuan pelbagai pihak.

Katanya, perkara berkenaan telah dibawa ke mesyuarat penuh dan dipersetujui oleh wakil-wakil ahli majlis, serta libat urus juga dibuat dengan peniaga-peniaga bukan Melayu.

“Mereka memikirkan ini adalah bandar pelancongan yang ditakrifkan sebagai Bandar Diraja. Jadi mereka perlu kekalkan elemen-elemen yang disebut boleh menonjolkan warisan dan tradisi melalui seni Jawi. Saya kira usaha ini antara tarikan untuk daerah Kuala Kangsar,” katanya.

Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang aduan berkaitan bantahan berhubung mengadakan tulisan Jawi dalam papan tanda sedia ada.

Terdahulu, media melaporkan kawasan sekitar Kuala Kangsar termasuk bangunan restoran terkemuka, papan tanda dan nama jalan menggunakan tulisan Jawi.

Langkah itu digerakkan MPKK sebagai langkah membudayakan semula tulisan tradisi itu.

Selain MPKK, Majlis Daerah Batu Gajah juga menggalakkan tulisan Jawi selepas mendapat kelulusan mesyuarat bulanan dengan tujuan mempertingkatkan penggunaan tulisan Jawi pada papan iklan dan tanda di kawasan pentadbiran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya