SHAH ALAM: Gegelang sotong sejuk beku yang tular dalam media sosial sebelum ini disahkan halal selepas kajian terhadap produk makanan itu dilakukan bagi mengesan sekiranya terdapat deoksiribonukleik (DNA) babi seperti didakwa pihak tidak bertanggungjawab.
Malah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mengesahkan produk berkenaan turut mempunyai pensijilan halal yang sah.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pengesahan tersebut selepas pihaknya membuat semakan dengan badan halal China (Shandong Halal Certification Services).
“Memang ada sijil halal. Sebelum ini, kita dapat maklumat itu, cuma apabila kita buat siasatan tidak boleh bergantung apa sahaja disebabkan ada tindakan pengujian.
“Sekarang keputusan pun sudah keluar (tiada asid deoksiribonukleik (DNA) babi) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengeluarkan kenyataan, jadi tiada isu lagi dan selesai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Tahfiz-Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan pihaknya kini menunggu maklum balas mengenai kesahihan produk gelang sotong dari agensi pensijilan halal di China sebelum tindakan susulan isu berkenaan dilakukan
Terdahulu, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilapor mengesahkan tiada asid deoksiribonukleik (DNA) babi dikesan dalam sampel sotong ring sejuk beku yang tular baru-baru ini.
Pengesahan itu dibuat selepas produk berkenaan tular dalam lama Facebook serta aplikasi WhatsApp yang meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penjualan produk berkenaan selepas dikatakan mempunyai DNA babi. – UTUSAN










