Terlalu awal bincang tentang Exco - MCA

Terlalu awal bincang tentang Exco – MCA

WEE Ka Siong (tengah) bersama calon MCA yang menang pada PRN Johor ketika sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memberitahu, masih terlalu awal mengadakan perbincangan mengenai calon untuk barisan Exco kerajaan negeri. 

Beliau berkata, ini kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru sahaja berakhir dan keputusan rasmi pilihan raya itu diserahkan kepada Istana Johor, pagi tadi. 

“Proses ini masih panjang lagi kerana mengikut prosedur, seorang calon perlu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar. Selepas Menteri Besar angkat sumpah, barulah berlaku proses seterusnya bagi pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di situlah perbincangan akan diadakan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon bersama barisan calon MCA yang bertanding pada PRN Johor. 

PRN Johor yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh 40 kerusi, empat daripadanya dimenangi calon MCA iaitu Tan Chong (Bekok), Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh) dan Tan Eng Meng (Pekan Nanas).

Sementara itu, Ka Siong berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan MCA pada PRN Johor dan lebih memberangsangkan empat kerusi yang dimenangi itu mendapat majoriti selesa sekali gus memberi petunjuk bahawa kembali mendapat kepercayaan rakyat berbilang kaum. 

Beliau berkata, bagi calon yang tidak menang pula menunjukkan satu perkembangan positif setelah merapatkan jurang majoriti di beberapa kawasan kerusi panas termasuk di bandar.

“Mungkin agak mustahil untuk kita mencipta kebangkitan dengan memenangi semua kerusi ditandingi dan kejayaan menang empat kerusi ini membuktikan satu perkembangan  positif.  Perubahan ini dapat disaksikan di kawasan majoriti kaum Cina yang memberikan undi kepada parti seperti di Bekok dan Yong Peng. Ini adalah hasil usaha keras calon dan jentera memenangi hati pengundi.

“Di kawasan bandar juga sudah menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya mengurangkan majoriti daripada lima angka kepada 1,922 majoriti di Johor Jaya dan 3,347 di Perling, ini petanda yang amat baik,” katanya.

Ka Siong berkata, calon-calon menjalankan tugas dengan baik menyantuni rakyat apabila kembali mendapat mandat rakyat setelah dua penggal parti tewas di Bekok, Yong Peng dan Pekan Nanas. 

Tambahnya, parti akan membuat post-mortem bagi membuat penilaian bagaimana untuk meningkatkan kepercayaan rakyat kepada parti bagi menarik sokongan.

Katanya, perkara ini bagi membolehkan parti merangka strategi di masa akan datang seterusnya menambah potensi parti menjadi lebih berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN