Terbukti BN diyakini mampu bela kebajikan rakyat - PM

Terbukti BN diyakini mampu bela kebajikan rakyat – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia di Kompleks Rakan Muda Bera di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kemenangan lebih dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan Barisan Nasional (BN) satu-satunya parti yang mampu membela kebajikan rakyat dulu, kini dan selamanya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemenangan itu adalah suatu dil uar jangkaan memandangkan walaupun diyakini menang, BN dijangka memperoleh majoriti mudah atau menang sebanyak 35 kerusi berdasarkan kajian sikap yang dilaksanakan.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, keputusan menang di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor semalam melebihi sasaran ditetapkan parti itu. 

“Saya percaya mungkin mereka (rakyat) sudah boleh membuat perbandingan. Dulu mereka tidak boleh sebab negara diperintah BN selama 60 tahun, ramai rakyat waktu itu melihat kelemahan BN. 

“Tapi kini (selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mereka sudah boleh menilai dan ternyata apa dijanjikan (parti politik) tidak dipenuhi dan rakyat menilai siapa yang lebih baik dan terbukti BN prihatian dan dalam membantu rakyat.

“Sebab itu dalam PRN Johor kali ini, rakyat mudah membuat pilihan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia di Kompleks Rakan Muda Bera, di sini hari ini. 

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol azali Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datul Zailani Hashim. 

Dalam PRN Johor semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan BN memenangi 40 daripada 56 DUN, Pakatan Harapan (PH) 11, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi manakala PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula masing-masing satu kerusi. 

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, jumlah pengundi yang keluar mengundi membabitkan 1.426 juta atau 54.92 peratus.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada pengundi Johor kerana memberikan kepercayaan kepada BN untuk menerajui kepemimpinan negeri berkenaan. 

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan UMNO, BN, parti Friends Of BN dan semua jentera yang bekerja kuat memenangkan parti.

“Saya harap selepas kemenangan ini tidak ada lagi perpecahan, kita perlukan kerajaan yang stabil untuk membangunkan Johor. Jadi semua pihak, sama ada menang ataupun kalah perlu memberikan sokongan kepada kerajaan negeri yang baharu untuk menerajui dan membangunkan Johor.

“Jadi selepas ini, lupakan pertandingan yang telah berlalu, duduk bersama sebagai keluarga besar Keluarga Malaysia untuk kita bersama-sama membangunkan negeri Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN