KUALA LUMPUR: Theta Edge Berhad (TEB) sedia memberi latihan sewajarnya bagi membaiki kadar pendapatan rakyat daripada kumpulan B40.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TEB, Nuraslina Zainal Abidin berkata, pihaknya komited memberi latihan menambah baik kebolehan penggunaan komputer atau pendigitalan kepada mereka yang memerlukan bantuan.
“Di Pahang kita bekerjasama dengan Majlis Belia Pahang, kita telah membangunkan pusat digital komuniti dan digital masjid. Sistem digital masjid ini objektifnya adalah untuk menyediakan ruang kepada pihak masjid mempunyai sistem perakaunan yang telus dah strategik.
“Seterusnya kita bekalkan komputer kepada masjid untuk penggunaan golongan kariah bagi pembelajaran dalam talian selain membekalkan program-program kemahiran. Kita memberikan latihan digital kepada ahli jawatan kuasa masjid supaya mereka berkebolehan menggunakan komputer.
“Kita mahu mereka mendapat pendedahan sewajarnya supaya sumbangan TEB dapat membantu negara mengurangkan jurang pendapatan dengan meningkatkan taraf pendapatan penduduk,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran #thetaCares,
TEB adalah salah satu syarikat perintis di Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan Komunikasi dan Teknologi Maklumat (ICT) selain tersenarai di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur dalam kategori teknologi di pasaran utama Bursa Malaysia.
Syarikat itu juga adalah syarikat sekutu Lembaga Tabung Haji dan beroperasi selama lebih 30 tahun.
Nuraslina berkata, di Pahang, pihaknya bermula dengan lima masjid tetapi sekarang di fasa untuk mengenal pasti masjid-masjid utama untuk dilaksanakan serta mengenal pasti pihak terpilih yang mengambil program berkenaan.
“Ini kerana program ini mengambil masa panjang disebabkan pemantapan budaya yang tidak berlaku dalam sehari, tetapi sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun,” katanya. – UTUSAN