PETALING JAYA: Seorang lagi mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang di sini berjaya ditemukan pihak bomba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa merupakan seorang wanita dipercayai penghuni sebuah daripada dua kediaman yang tertimbus dalam kejadian itu.
“Mangsa ditemukan pada pukul 7.53 malam tadi dan kerja-kerja membawa keluar sedang dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, operasi mengeluarkan dua mangsa yang lain sedang dilakukan ketika ini.
Difahamkan, dua lagi mangsa adalah seorang lelaki lingkungan 50-an dan seorang lagi individu tidak dapat dipastikan.
Terdahulu, seorang mangsa warga emas lelaki diselamatkan pada pukul 6.54 petang dalam kejadian tanah runtuh membabitkan 15 rumah. – UTUSAN










