PETALING JAYA: Dua maut, seorang cedera ringan manakala dua lagi mangsa kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini masih belum ditemukan setakat pukul 12.40 tengah malam tadi.
Kesemua mangsa terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita iaitu empat penduduk dan seorang pekerja Syarikat Air Selangor dipercayai sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi kejadian.
Mayat pertama adalah wanita berusia 80-an ditemukan di rumahnya pada pukul 7.54 malam.
Pada pukul 10.58 malam, pasukan penyelemat menemukan mayat seorang lelaki berusia lingkungan 40-an di luar kediamannya yang tertimbus ketika kejadian.
Selain itu, mangsa yang selamat adalah lelaki berusia 87 tahun dipercayai suami kepada mangsa wanita.
Dua lagi mangsa belum ditemukan merupakan lelaki berusia lingkungan 50-an yang menghuni di rumah No. 3 dan pekerja Syarikat Air Selangor dikenal pasti sebagai A. Mahendran.
Difahamkan, pasukan mencari dan penyelamat (SAR) menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan kedudukan dua lagi mangsa tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa akan diteruskan tetapi akan dihentikan sekiranya hujan dan bersambung pagi ini. – UTUSAN










